Isu Kajian Wacana
Kerancakan penelitian tentang wacana bahasa Melayu diperteguhkan lagi. Pertambahan pelbagai kajian dibuat dalam bidang ini dapat dilihat melalui hasil kerja yang dibuat oleh para tokoh bidang ini. Sato Hirobumi merupakan seorang tokoh dalam bidang ini telah menghasilkan tesis Ph. D beliau yang bertajuk “Analisis Nahu Wacana Bahasa Melayu Klasik Berdasarkan Teks Hikayat Hang Tuah”. Tumpuan yang diberikan ialah hubungan antara susunan ayat yang logikal dengan susunan maklumat. Perhatian ini juga diberikan terhadap analisis ketenunan dalam ayat yang berkaitan dengan hubungan tersebut. Kegiatan yang dapat dilihat hasil sumbangan Sanat Md. Nasir ialah apabila beliau merancakkan penelitian wacana dalam bentuk tesis PH.D dengan tajuk “tautan dalam wacana Melayu akhbar: analisis rencana pengarang utusan zaman (1957-1961). Kajian beliau ini telah mengemukakan konsep struktur tautan dan konsep struktur tema.
Terdapat juga penelitian yang lain menghasilkan kertas kerja atau artikel seperti Samsuri (1992), Ramlan (1992), Ebah (1992), Wong (1992), Sanat Md Nasir (1992;1994;1995a; dan 1995b;1996a;1996b), Ismail (1993;1994), dan Zahrah (1995). Berdasarkan tinjauan yang telah dibuat oleh Sanat Md Nasir dalam buku beliau (2002), sekiranya diselidiki dari segi penghasilan latihan ilmiah dalam tempoh 1990 hingga 1994 di Malaysia, terdapat 17 buah penelitian yang telah dibuat. Lima belas daripada jabatan linguistik, Universiti Kebangsaan Malaysia dan dua dari Rancangan Bahasa Melayu, Universiti Malaya. Seperti yang dinyatakan tadi, Wacana sebagai bidang kajian dalam penelitian bahasa Melayu masih baru. Hal ini berlaku kerana beberapa sebab.
Antara penyebabnya berlaku kekurangan ini ialah wacana sebagai satu disiplin hanya berlaku pada tahun 1970-an di Eropah dan di Amerika Syarikat. Perkembangan dan pengaliran ilmu ini dalam kajian bahasa Melayu sudah pasti memakan waktu antara lima hingga sepuluh tahun untuk sampai ke tempat kita. Pada waktu yang sama transformasi generative yang dipelopori Chomsky masih kuat bertapak sehingga kebanyakan ahli bahasa kita yang belajar di peringkat kedoktoran dalam tempoh itu terpengaruh dengan aliran itu.
Selain itu, kajian wacana sebagai mata kursus peringkat sarjana muda di universiti tempatan masih belum menyeluruh. Penelitian telah dibuat oleh Lutfi, Sanat dan Nuwairi pada tahun 1985 mendapati hanya jabatan Lingustik, Universiti Kebangsaan Malaysia yang menawarkan kursus ini dalam kajian mereka. Tambahan pula kursus ini dianggap umum sebab sekadar menyatakan topik tentang teori sintaksis yang boleh dilihat daripada aliran lain yang bukan wacana, seperti transformasi generative.Pada awal tahun 1990 dinyatakan bahawa IKIP Malanh, Unika Atma Jaya dan Universiti Indonesia masih tidak ada lagi menawarkan kursus ini di peringkat ijazah pertama. Hal ini juga berlaku di Jabatan Pengajian Malaysia, National University of Singapore. Sebaliknya, pengajian bahasa Malaysia, pusat pengajian ilmu kemanusiaan, Universiti sains Malaysia sudah menawarkan kursus “analisis wacana” di peringkat ijazah dasar bagi sesi tahun 1990. Pada tahun1994, Rancangan Bahasa Melayu, Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Malaya Menawarkan Kursus “Tatabahasa Wacana Bahasa Melayu”.
Bagi merancakkan lagi tahap kegiatan kajian wacana selain melalui penyelidikan dan penawaran mata kursus, ada baiknya penulisan tatabahasa bahasa Melayu yang ada dilihat semula dalam konteks wacana. Secara jelas “ tatabahasa baku bahasa Indonesia” telah memuatkan bab wacana dalam bukunya walaupun tidak secara keseluruhan. Manakala “tatabahasa dewan yang dicetak buat kali kedua pada tahun 1994 masih belum memasukkan aspek tatabahasa wacana.
Begitulah sejarah perkembangan bidang wacana ini dalam kajian bahasa Melayu. Dapat disimpulkan sejak alaf 2000 dan seterusnya memperlihatkan peningkatan mendadak dalam penyelidikan wacana di Malaysia. Analisis wacana telah menjadi subjek atau mata pelajaran kursus di peringkat institusi pengajian tinggi sama ada di peringkat ijazah dasar, ijazah sarjana, mahupun ijazah kedoktoran seperti di institut pengajian tinggi awam.
No comments:
Post a Comment