Tatabahasa Wacana

TAUTAN DAN KOHESI
Tautan atau kohesi ialah keserasian hubungan antara satu unsur linguistik dengan unsur linguistik yang lain dalam sesebuah wacana untuk menghasilkan wacana yang mantap. Keserasian hubungan ini lazimnya dilihat melalui hubungan antara sesuatu perkataan, frasa atau ayat dengan perkataan, frasa atau ayat lain yang terdapat dalam wacana tersebut. Tautan penting kerana tautan dapat mewujudkan kesinambungan antara sebahagian teks dengan yang lain sehingga membentuk suatu kesatuan. 

          Kohesi juga merujuk kepada idea atau esei yang dijalin rapi hingga menjadi bersepadu. Kohesi juga disebut sebagai organisasi sintaktik yang mana merupakan wadah ayat-ayat yang disusun secara padu dan juga padat. Perkara ini bermaksud kohesi adalah hubungan di antara ayat di dalam sebuah wacana tidak kira sama ada dari segi strata gramatikal mahupun strata leksikal tertentu. Penguasaan dan pengetahuan kohesi yang begitu baik akan dapat menghasilkan wacana yang baik.

“Tautan merupakan satu set kemungkinan yang wujud dalam bahasa untuk menjadikan suatu teks itu berkesatuan"                                                                                                                                                                                                 (Halliday dan Hasan:1976)

          Menurut Halliday dan Hasan lagi, "Cohesion is expressed through the strata organization of language. Language can be explained as a multiple coding system comprising three levels of coding or 'strata'. The semantic (meaning), the lexicogrammatical (forms) and the phonological and orthographic (expression). Meanings are realized (coded) as forms, and the forms are realized in turn (recoded) as expressions. To put this in everyday terminology, meaning is put into wording and wording into sound or writing."

          Halliday dan Hasan telah cuba melihat tautan makna itu dari dua sudut iaitu tautan nahuan dan tautan leksikal. Kedua-dua nahuan ini wujud dalam sesuatu kesatuan teks. Selain itu, kohesi juga memperlihatkan jalinan ujaran dalam bentuk ayat bagi membentuk suatu teks atau konteks dengan menghubungkan makna yang terkandung di dalam unsur. Kohesi juga dikenali sebagai tetenunan, tautan, kepaduan dan sebagainya.



Tautan from Muhammad Zahiruddin



RUNTUTAN DAN KOHEREN
Runtutan atau koheren merupakan kesinambungan idea yang terdapat dalam sesbuah wacana sehingga menjadikan sesebuah teks itu bermakna. Oleh itu, runtutan merupakan asas dalam pembinaan wacana kerana sesuatu teks itu dianggap sebagai wacana jika teks tersebut mempunyai makna.

Contohnya:
Penyakit sindrom kurang daya tahan atau Aids bukanlah gejala yang baharu. Penyakit ini telah lama dikesan di beberapa buah Negara di Eropah. Walaupun bidang sains dan teknologi berkembang maju, tetapi masalah ini masih tidak dapat diatasi.

         Contoh di atas jelas menunjukkan kesinambungan idea melalui perkataan Aids, gejala, penyakit dan masalah ini. Kesinambungan idea ini telah menjadikan ayat-ayat tersebut bertaut di antara satu sama lain untuk membentuk wacana yang bermakna. Kebanyakan wacana mempunyai tautan untuk menjadikannya runtut. Walau bagaimanapun, teks yang bertaut tidak semestinya runtut.


Runtutan from Muhammad Zahiruddin



TUJUAN
Setiap wacana yang diujarkan sama ada dalam bentuk tulisan atau lisan perlu mempunyai tujuan. Tujuan sesuatu wacana ini ditentukan oleh penghasil wacana tersebut sama ada penulis atau pembicaranya. Sesuatu wacana perlu mempunyai tujuan untuk menimbulkan interaksi yang komunikatif. Tujuan ini akan menentukan jenis wacana yang digunakan. Jika tujuan seseorang adalah untuk mendapatkan maklumat, ayat yang sering digunakan ialah ayat Tanya, tetapi jika seseorang itu ingin menyatakan atau menerangkan sesuatu, ayat yang digunakan ialah ayat penyata.


PENERIMAAN
Sesuatu wacana sama ada lisan atau tulisan, perlu mempunyai pendengar atau pembaca. Pendengar dan pembaca merupakan penerima sesuatu wacana. Tahap penerimaan seseorang itu tinggi jika pendengar atau pembaca memahami sepenuhnya wacana yang diujarkan sama ada dalam bentuk tulisan atau lisan. Oleh itu, tahap penerimaan adalah tinggi apabila tahap tujuan sama dengan tahap penerimaan.


STRUKTUR MAKLUMAT
Setiap wacana mempunyai maklumat. Maklumat terdiri daripada dua jenis, iaitu maklumat lama dan maklumat baharu. Maklumat lama ialah maklumat yang telah dinyatakan terdahulu. Maklumat baharu pula ialah maklumat yang baru sahaja dinyatakan dengan andaian pendengar atau pembaca tidak mengetahui maklumat itu sebelum ini.

Contohnya:
(1) Puan Rita mengajar di sekolah menengah.
(2) Sekolah itu sekolah berasrama penuh.

Sekolah itu dalam ayat (2) merupakan maklumat lama kerana telah dinyatakan dalam ayat sebelumnya. Sekolah berasrama penuh ialah maklumat baharu kerana baru disebutkan dalam ayat itu.



Struktur maklumat from Muhammad Zahiruddin



KEADAAN
Ciri seterusnya ialah keadaan. Keadaan ialah latar sewaktu bahasa itu digunakan, dan membantu pendengar atau pembaca memahami sesuatu wacana. Ungkapan “Sila masuk”, misalnya, difahami kerana digunakan dalam keadaan latar seseorang mempelawa seorang lain masuk ke dalam bilik atau rumahnya. Dalam kehidupan sehari-hari terdapat pelbagai jenis latar, misalnya latar rumah tangga, latar tempat kerja, latar tempat membeli-belah, latar berekreasi, latar beribadat, dan bermacam-macam lagi. Setiap latar menghasilkan wacana tersendiri.

         Wacana harus ada tujuan yang menentukan sesuatu jenis ayat. Contohnya, jika tujuan penutur adalah untuk melaksanakan sesuatu perbuatan , jenis ayat yang terbentuk ialah ayat perintah. Begitu juga jika tujuan penutur adalah untuk mendapatkan maklumat, jadi ayat yang terbentuk ialah ayat Tanya.


INTERTEKS
Interteks bermaksud sesuatu wacana itu bergantung kepada wacana yang lain. Hal ini beerti wacana-wacana lain juga memainkan peranan penting untuk membantu seseorang memahami sesuatu wacana yang sedang dibaca atau didengarinya dengan mudah. Dengan kata lain, kefahaman seseorang terhadap sesebuah wacana bergantung kepada pengetahuannya terhadap perkara yang dibaca atau didengarnya itu.

No comments:

Post a Comment